Penduduk membeli barang keperluan asas yang menawarkan harga murah berbanding pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Rumah Pangsa SS19/7A Subang Jaya pada 27 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk tidak lepas peluang ke jualan murah, jimat belanja harian

GOMBAK, 1 OKT: Masyarakat disaran tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan pada program jualan murah, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di kawasan masing-masing.

Suri rumah Siti Aminah Abdullah, 36, berkata beliau sudah empat kali pergi ke program anjuran Kerajaan Negeri itu sejak mula dilaksana awal September dan ternyata membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Jika di pasar kita belanja kira-kira RM100 tetapi dalam program ini hanya perlu bayar RM60 sahaja. Bagi saya harga berpatutan dan berbaloi untuk beli keperluan harian.

“Peluang ini tidak harus dilepaskan dan masyarakat perlu merebutnya kerana jualan ini hingga Disember sahaja tetapi saya berharap ia diteruskan,” katanya ditemui pada program tersebut di Pangsapuri Laksamana di sini semalam.

Siti Aminah Abdullah. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Peniaga P Sivabalan, 48, berkata beliau pertama kali datang ke Jelajah Ehsan Rakyat dan tidak menyangka harganya amat berpatutan.

“Saya beli ayam, telur dan ikan yang harganya hanya RM32 berbanding pasaran mungkin mencecah RM60.

“Sebelum ini, saya mahu datang tetapi tidak berkesempatan kerana berniaga. Namun apabila diadakan berhampiran rumah, saya tidak lepaskan peluang,” katanya.

Program JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi jualan murah ini, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

 

 

 


Pengarang :