Orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Cheras Prima, Balakong pada 7 Oktober. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung akui Jelajah Ehsan Rakyat tawar harga berbaloi, mahu program diteruskan

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

HULU LANGAT, 7 OKT: Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong mengakui berbaloi berbelanja dan berharap program sama kerap dianjurkan di kawasan berkenaan.

Kelindan lori Norhalis Hawafi, 28, berkata jualan barangan asas pada harga yang murah sangat membantu golongan sepertinya yang terkesan dengan peningkatan kos sara.

“Selalunya, untuk barangan yang saya beli ini jika di pasar raya luar mungkin sudah cecah RM200. Namun hari ini RM127 sahaja. Penjimatan RM73 saya boleh salurkan kepada keperluan lain seperti barangan keperluan anak dan sebagainya,” katanya.

Norhalis antara ratusan pengunjung yang mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah di Taman Cheras Prima, Balakong di sini hari ini.

Suri rumah Nur Aini Jaafar, 35, berkata beliau memang ternanti-nanti program berkenaan menjelajah ke DUN berkenaan setelah mengetahui kewujudan program berkenaan berlangsung di beberapa lokasi di DUN lain.

“Memang saya tunggu peluang seperti ini. Harga murah dan sangat membantu saya yang memiliki lima anak ini kerana memerlukan perbelanjaan tinggi untuk makanan dan keperluan asas,” katanya.

Kakitangan swasta S Yasotha, 23, menyifatkan Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebagai ‘penyelamat’ buat penduduk.

“Gaji saya tidak besar, jadi inisiatif ini sangat membantu. Saya berusaha minta keluar sebentar dari majikan untuk beli barang pada program ini kerana ingin berjimat,” katanya.

Menerusi jualan murah berkenaan, pengunjung berpeluang membeli ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk mengetahui lokasi jualan dari semasa ke semasa.

 


Pengarang :