AGENDANASIONAL

Pengurus kanan syarikat ditahan disyaki terima rasuah RM72,000

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Seorang pengurus kanan sebuah syarikat pembinaan dan penyelenggaraan ditahan kerana disyaki menerima rasuah bernilai RM72,000 bagi membantu proses kelulusan pinjaman berjumlah RM5 juta untuk sebuah syarikat daripada sebuah agensi kerajaan.

Suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya selepas hadir memberi keterangan pada 6 petang semalam.

Menurut sumber suspek dipercayai menerima rasuah itu daripada seorang pengarah urusan syarikat berkenaan untuk membantu proses kelulusan permohonan pinjaman syarikat itu.

“Syarikat pembinaan dan penyelenggaraan tempat suspek berkhidmat berkenaan merupakan anak syarikat agensi kerajaan tersebut,” kata sumber itu hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai keterangan diambil.

– BERNAMA


Pengarang :