Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama wakil penerima bantuan sekolah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengurusan sekolah syukur terima bantuan, tumpu sedia kemudahan kondusif demi keselesaan pelajar

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 23 OKT: Pengurusan Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Integrasi Kampung Atap, Klang akan memanfaatkan bantuan RM40,000 daripada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kemudahan prasarana demi keselesaan pelajarnya.

Penolong Kanannya Mohd Shukri Simon berkata tumpuan diberikan untuk menambah kipas, pembaikan lantai dan tingkap kelas agar suasana pembelajaran lebih kondusif.

“Bantuan ini membantu kami untuk memperbaiki dan menambah kemudahan sedia ada supaya dapat memberi keselesaan kepada kira-kira 200 pelajar ketika belajar,” katanya.

Selain sekolah berkenaan, empat lagi sekolah turut menerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor iaitu SAR KAFA Integrasi As-Syabab, Maahad Hafiz Klang. Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sultan Suleiman dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang.

Sumbangan sampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Jelajah Selangor Penyayang daerah Klang di Stadium Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Sementara itu, Guru Maahad Hafiz Klang Norrateh Rhan berkata pihaknya akan memanfaatkan bantuan RM30,000 untuk membaikpulih kemudahan asas sekolah termasuk tandas yang akan memanfaatkan lebih 500 pelajar.

“Kami sangat bersyukur permohonan diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Diharap kemudahan yang dibina menggunakan dana bantuan ini memberi lebih keselesaan kepada pelajar kami,” katanya.

Sebanyak 132 sekolah daerah Klang menerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6.06 juta tahun ini.

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor menawarkan bantuan membaik pulih infrastruktur mahupun membiayai pembinaan struktur baru.

Program ini bertujuan membantu mengekalkan dan menambah baik prasarana sekolah kerajaan dan swasta di Selangor dengan pemberian insentif sehingga RM50,000.


Pengarang :