Peserta program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) dan Pembangunan dan Pemerkasaan Usahawan India Selangor (I-Seed) G Rajiv yang mendapat bantuan peralatan memotong rambut pelanggan di kedainya di Jenjarom, Banting pada 13 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengusaha gunting rambut buka dua lagi kedai hasil bantuan negeri

SHAH ALAM, 26 OKT: Bantuan set kerusi boleh laras, cermin dan mesin gunting rambut melalui program Pembangunan dan Pemerkasaan Usahawan India Selangor (I-Seed) memajukan perniagaan usahawan muda G Rajiv dari Jenjarom, Kuala Langat.

Daripada sebuah premis pada 2019, Rajiv yang berusia 31 tahun kini memiliki tiga kedai, dua di Jenjarom dan satu di Banting. Semuanya selepas beliau mendapat bantuan peralatan berkenaan bernilai RM4,000 pada tahun lalu.

“Bantuan itu membolehkan saya menerima lebih ramai pelanggan dan tambah pendapatan, keuntungan saya guna untuk buka dua lagi premis.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan pasukan I-Seed yang membantu B40 dan orang muda untuk meningkatkan diri dalam perniagaan,” katanya kepada Selangorkini pada 14 Oktober.

Beliau antara hampir 3,000 peniaga kecil dibantu menerusi I-Seed dan Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham). Berikut pandangan (antara November 2021 hingga Februari 2022) beberapa lagi usahawan mendapat manfaat.

“Saya mula mohon geran peralatan menerusi Sitham kemudian mereka beri cadangan buat pinjaman untuk kendera saji dan tidak sangka dapat kedua-duanya,” – peniaga nasi beriani
S Ramesh.

“Bantuan ini memberi makna besar kepada saya kerana kalau hendak beli sendiri memang agak mahal, semuanya dianggar bernilai RM3,800. Sudah tentu saya terpaksa kumpul modal untuk tempoh agak lama,” – pencuci kereta R Rashwin.

“Dulu hendak siapkan satu tempahan memang agak ambil masa sikit tetapi sekarang lebih cepat (dengan bantuan mesin jahit moden daripada Sitham) dan pelanggan juga puas hati kerana tidak perlu tunggu terlalu lama,” – penjahit pakaian tradisional M Rajeswari.

 

 


Pengarang :