Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (tengah) dan Pengurus Jabatan Digitalisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Siti Nur Hazwani Md Sabudin (lima, kanan) bersama wakil rakan sinergi yang menjayakan program latihan pembangunan usahawan mikro di Dewan Kenanga, ibu pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 13 Oktober 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga kecil daftar Plats terima internet percuma, galak jualan dalam talian

SUBANG JAYA, 14 OKT: Penjaja dan peniaga kecil di negeri ini berpeluang menikmati internet percuma selama setahun apabila berdaftar dengan Platform Selangor (Plats).

Pengurus Jabatan Digitalisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata inisiatif untuk mempercepat proses pendigitalan dalam kalangan peniaga disediakan syarikat telekomunikasi Celcom, Telekom Malaysia dan Mbit.

“Usaha sebegini amat baik bagi merapatkan jurang ketidakmampuan peniaga membeli internet. Kita tidak mahu timbul isu peniaga tidak boleh beralih kepada perniagaan digital disebabkan kekurangan data.”

“Malah Mbit menyediakan perlindungan insurans hingga RM60,000 sekiranya berlaku kematian selain rawatan hospital RM50 sehari dan wang tunai RM150 untuk peniaga dijangkiti Covid-19,” kata Siti Nur Hazwani Md Sabudin.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran program latihan pembangunan usahawan mikro anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Plats di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hazwani memaklumkan hampir 10,000 peniaga dan penjaja kecil menerima manfaat Data Internet Selangor 20 gigabit(gb) setiap bulan setakat ini.

“Kita mempelawa peniaga untuk berdaftar dengan Plats supaya lebih ramai menikmati faedah ini serta galak berniaga dalam talian. Pendaftaran boleh dibuat sehingga Disember depan.

“Kita juga mengalu-alukan peniaga mengunjungi reruai Plats dan MBI sempena Jelajah Selangor Penyayang siri dua di empat lokasi untuk berbuat demikian,” katanya.

Pada 4 Ogos tahun lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal internet percuma selama setahun dengan peruntukan RM17.5 juta.

Inisiatif tersebut menyasarkan pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, peniaga, petani serta ibu tunggal.


Pengarang :