Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin menyerahkan Bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor kepada penerima ketika Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penternak lembu tenusu gembira terima bantuan bilah mesin pencincang

SEPANG, 31 OKT: Selepas hampir setengah tahun hilang sumber pendapatan, seorang penternak lembu tenusu dari Kampung Sri Tanjong, Dengkil di sini mampu meneruskan kembali pekerjaan itu apabila memperoleh bantuan peralatan.

R Rajalingam, 63, gagal menyembunyikan perasaan gembira sebaik dimaklumkan permohonan bilah mesin pencincang, mesin susu dan pam air yang hanyut ditenggelami banjir akhir tahun lalu diluluskan Kerajaan Selangor.

R Rajalingam, 63,

“Saya menternak lembu tenusu sejak berpuluh tahun lamanya. Ketiadaan peralatan ini sudah tentu menyukarkan saya sehinggakan terpaksa menghentikan sementara kerja ini.

“Sejujurnya ketika itu saya buntu memikirkan kos perkakas yang mencecah puluhan ribu dan saya tiada wang sebanyak itu. Mujurlah ketua kampung dan tok penghulu datang ke kandang lembu untuk melihat sendiri keadaan dihadapi.

“Mereka kemudian bantu hantar permohonan dan tidak sangka lulus dalam masa singkat. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberi bantuan ini,” kata bapa tiga anak yang memiliki 28 ekor lembu tenusu.

Terdahulu, beliau antara lima penerima bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dalam simbolik penyerahan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang peringkat daerah Sepang di KIP Mall Kota Warisan dekat sini semalam.

Sementara itu, peniaga kedai runcit Nurul Shafinas Basri, 32, tidak perlu bergantung kaedah manual untuk mengurus wang keluar masuk selepas menerima bantuan mesin juruwang sistem pos (cashier machine pos system) bulan lepas.

Nurul Shafinas Basri, 32,

Dia yang mengusahakan perniagaan di Kampung Bukit Bangkong bersama suami sejak dua tahun lalu turut mendapat peti penyimpanan (chiller) untuk menyimpan barang basah seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Sebelum saya dapat mesin juruwang seringkali berlaku kesilapan dalam pengiraan. Barang yang dijual dengan wang diperoleh pula kadangkala tidak selari, begitu juga barangan basah cepat rosak disebabkan tiada ‘chiller’.

“Selepas dimaklumkan berkenaan DUMS, saya segera mohon kepada pihak berkaitan. Alhamdulillah, permohonan lulus sangat cepat dan sedikit sebanyak membantu kedai kecil kami,” katanya.

Bagi pengusaha bengkel perabot Shammudin Amat, 54, bantuan mesin gergaji lengan dan mesin gergaji meja bernilai hampir RM10,000 dapat mempercepat dan meningkatkan kualiti kerja di bengkel.

Bapa tiga anak mengakui belum pernah mendapat sebarang bantuan peralatan sepanjang 10 tahun menjalankan perniagaan di Kampung Giching meski beberapa kali membuat permohonan.

“Sudah tentu peralatan ini membantu pengusaha kurang mampu seperti saya sekali gus menyuntik semangat usahawan lain untuk memajukan industri dan taraf ekonomi daerah Sepang,” katanya.


Pengarang :