Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat) Suzila Khairuddin ketika ditemu bual selepas majlis graduasi Program Latihan Pengasuh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 6 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Perangsang Selangor latih 155 pengasuh bebas jaga warga emas

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Program Latihan Pengasuh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) berjaya menyediakan latihan penjagaan warga emas kepada 155 pengasuh bebas sejak Program Latihan Pengasuh diperkenalkan pada 2019.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat) Suzila Khairuddin berkata program itu memberi tumpuan kepada usaha memenuhi keperluan khas dan unik warga emas, termasuk perkhidmatan seperti bantuan hidup, jagaan harian dewasa, jagaan jangka panjang, rumah penjagaan, penjagaan hospis dan penjagaan di rumah.

“Bagi kelas teori, peserta diajar oleh jurulatih terlatih di bawah Cality Care Malaysia, manakala latihan praktikal (untuk pelatih) dijalankan di rumah warga emas yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada Bernama pada majlis graduasi Program Latihan Pengasuh KPS, semalam.

Program Latihan Pengasuh KPS adalah selaras dengan objektif Program Pembangunan Keusahawanan KPS Berhad untuk meningkatkan kemahiran vokasional dan projek perniagaan yang meningkatkan taraf sosialekonomi peserta.

Menerusi program ini, pengasuh bebas juga berupaya menjana pendapatan lebih RM1,500 sebulan, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cality Care Malaysia James Kim berterima kasih kepada KPS Berhad kerana membiayai dan memberi sokongan berterusan kepada Cality Care Malaysia untuk menganjurkan latihan di bawah Program Latihan Pengasuh KPS.

Beliau berkata Cality Care Malaysia telah diberikan prakelulusan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk mengubah modul latihan Cality Care agar menepati pensijilan akreditasi kebangsaan di bawah skim Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Adalah menjadi hasrat Cality Care dapat meneruskan hubungan dengan KPS dan mengubahkan kesemua pengetahuan latihan pelatih agar dapat memperoleh sijil akreditasi kebangsaan pada masa depan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :