Skuad bawah 16 tahun (B-16) negara layak ke Piala Asia B-17 tahun 2023 selepas menewaskan Indonesia pada 9 Oktober 2022. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
Skuad bawah 16 tahun (B-16) negara layak ke Piala Asia B-17 tahun 2023 selepas menewaskan Indonesia pada 9 Oktober 2022. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
SUKANKINI

Persiapan Piala Asia bawah 17 tahun, skuad negara mahu lawan pasukan kuat

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Skuad Bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan berharap dapat menjalani kem latihan di Timur Tengah atau Jepun menjelang kempen pusingan akhir Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2023.

Ketua jurulatih Osmera Omaro berkata selain bertujuan memberi pendedahan, pihaknya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan kuat dari Timur Tengah atau Jepun dalam usaha untuk memberi tentangan sengit pada saingan berprestij bola sepak belia Asia itu.

“Walaupun cemerlang (layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023), namun masih banyak lagi aspek perlu diperbaiki.

“Antara cara terbaik adalah memberi pendedahan menentang pasukan kuat dari Timur Tengah atau pun Jepun bagi mereka mendapatkan pengalaman bermain pada intensiti yang sama pada pusingan kelayakan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba bersama skuad negara dari Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Pada aksi kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Indonesia, Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan menumpaskan Palestin 4-0 diikuti seri 1-1 menentang Guam sebelum mengejutkan pasukan pilihan Emiriah Arab Bersatu 3-2 dan melengkapkan saingan dengan ‘meratah’ tuan rumah, 5-1.

Malaysia layak ke Piala Asia B-17 2023 selepas mengungguli Kumpulan B dengan 10 mata. Hanya 10 juara kumpulan dan enam pasukan naib juara kumpulan terbaik layak ke pusingan akhir.

Dalam pada itu, Osmera memaklumkan mereka akan mencuba sedaya upaya untuk muncul empat pasukan terbaik di Piala Asia B-17 2023, sekali gus mencatat sejarah layak ke Piala Dunia B-17 buat julung kalinya, juga tahun depan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Christopher Raj berkata Iran, Jepun dan Korea Selatan berada dalam radar pihaknya bagi menguji tahap kekuatan skuad muda negara menjelang Piala Asia B-17 2023.

Beliau menarik perhatian kejayaan skuad negara mengejutkan Palestin 4-0 dan Emiriah Arab Bersatu 3-2 membuka mata semua pihak lawan mengenai kemampuan dimiliki pasukan negara.

Ini adalah kali keenam skuad muda kebangsaan layak ke pentas Piala Asia B-17 selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 selaku tuan rumah.

Pencapaian terbaik skuad muda di saingan berprestij itu adalah pada edisi 2014 apabila layak ke suku akhir namun gagal ke saingan seterusnya selepas tewas nipis 1-2 di tangan Australia.

— BERNAMA

 


Pengarang :