Orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Cheras Prima, Balakong pada 7 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pertama kali anjur jualan murah, penduduk Balakong beratur seawal 7.30 pagi

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

HULU LANGAT, 7 OKT: Orang ramai beratur seawal jam 7.30 pagi untuk menunggu lori Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Cheras Prima di sini yang pertama kali dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Hampir 450 pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan asas dengan harga lebih murah yang disediakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Penolong Pengurus Jualan Azinor Zahri berkata sebanyak 500 ekor ayam standard, daging pejal (300 pek), minyak masak 5 kg (150 botol), beras (300 kampit), ikan kembung (300 pek) dan telur (300 papan) disediakan pada program itu.

“Kali ini, ayam ditambah kepada 500 ekor berbanding 300 ekor pada jelajah sebelum ini atas permintaan ramai terhadap bahan mentah itu dan semuanya habis terjual dalam tempoh 3 jam sahaja.

“Semuanya berjalan dengan lancar dan kita berharap penduduk di kawasan ini berpuas hati dengan program ini,” katanya ditemui SelangorKini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Jualan murah tersebut menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut ditawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk mengetahui lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :