Aksi pemain dalam perlawanan futsal peringkat kumpulan sempat dirakam lensa SelangorKini sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pertandingan futsal sempena jelajah bantuan rakyat di Sepang

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menganjurkan pertandingan futsal sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah tersebut pada 29 Oktober depan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pertandingan akan diadakan di Arena Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) @Sepang bermula 1.30 tengah hari.

Menerusi perkongsian poster, MPSepang menjelaskan pendaftaran untuk pertandingan itu adalah percuma dan syarat penyertaan ialah setiap pasukan diwajibkan mempunyai pengurus.

Syarat lain juga pertandingan melibatkan sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada 10 pemain (lima pemain utama dan lima simpanan) serta didaftarkan menggunakan borang rasmi disediakan.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM300 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM200 dan RM100 serta medal kepada semua peserta.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi urus setia pertandingan Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSepang 03-83190200 / 0300 nombor sambungan 242 / 243 (Manmathan/Jemie).

Jelajah Selangor Penyayang bermula Jun lalu memperkenal pelbagai inisiatif baharu Kerajaan Negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang.

Pelbagai acara dibawa untuk rakyat Selangor antaranya persembahan artis, saringan percuma, jualan barangan asas murah dan pameran.

Turut diadakan cabutan bertuah, pertandingan e-sukan, pakaian beragam keluarga, mewarna dan acara sukan rakyat seperti tarik tali, gusti lengan dan liga penalti.

Pada 29 dan 30 Oktober, acara sama akan diadakan di KIP Sentral, Sepang sementara daerah Hulu Selangor pada Disember depan.

Sebelum ini, ia diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Padang Awam Batu Caves dan Stadium Sultan Suleiman, Klang.


Pengarang :