EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) bergambar bersama wakil sekolah selepas menyampaikan bantuan sekolah aliran Cina di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peruntuk RM9 juta baik pulih, tambah kemudahan 143 sekolah aliran Cina

SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM9 juta diperuntuk bagi membaik pulih dan menambah infrastruktur 143 sekolah aliran Cina pada tahun ini.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata jumlah tersebut merangkumi 113 sekolah jenis kebangsaan Cina, 26 sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh serta empat sekolah menengah persendirian Cina.

“Inisiatif menerusi skim Bantuan Sekolah Negeri Selangor bertujuan memberi pelajar keselesaan optimun dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Bantuan sekolah ini akan dibuka lagi tahun depan. Proses permohonan sama seperti tahun ini iaitu menerusi dalam talian. Bantuan akan diagih mengikut peruntukan dan saksama,” katanya.

Beliau berucap sempena majlis penyampaian bantuan sekolah aliran Cina di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sejumlah RM26.5 juta diperuntuk bagi menambah baik infrastruktur sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Sumbangan dikhususkan untuk sekolah agama rakyat, SJKC, SJKT serta mubaligh yang tidak menerima bantuan penuh daripada kerajaan persekutuan.


Pengarang :