Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Petronas Global Technical Solutions (PGTS) ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 6 Oktober 2022. PKPS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kiri) dan PTGS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Annaliz Abu Bakar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS-Petronas meterai MoU jaya pertanian pintar, agenda kelestarian negeri

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memeterai memorandum persefahaman dengan Petronas Global Technical Solutions (PGTS) ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), hari ini.

Kerjasama itu menyaksikan PKPS menjadi anak syarikat pertama Kerajaan Negeri yang bekerjasama dengan Petronas bagi melaksanakan program berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus struktur korporat.

Kerjasama itu turut merangkumi program penyelidikan dan inovasi berkaitan projek kelestarian, perhutanan semula dan pertanian pintar.

“PKPS akan turut menyelaraskan sesi libat urus bersama syarikat berkaitan kerajaan lain di Selangor yang berhasrat untuk bersama-sama menyumbang kepada agenda kelestarian negeri selain meningkatkan prestasi dan penarafan kemampanan.

“PGTS pula berperanan memberi platform teknologi dan kepakaran tersedia khususnya dalam menjalankan kajian ekonomi bagi pelaksanaan projek-projek yang berpotensi,” menurut PKPS dan PTGS dalam kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu, sesi pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Ketua Pegawai Eksekutif PGTS Annaliz Abu Bakar disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selepas berkenan merasmikan SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkenan melawat pameran selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berlangsung mulai hari ini hingga 9 Oktober, edisi keenam SIBS menghimpunkan 906 pempamer daripada 623 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Persidangan itu menyasar potensi jualan sehingga RM350 juta dan mampu menarik 30,000 pengunjung sepanjang empat hari program diadakan.

Tahun lalu, SIBS merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjuran dengan menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.


Pengarang :