Hujan tidak menghalang orang ramai membeli barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Laksamana Permai, Gombak pada 22 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

PKPS ubah waktu, hari operasi jualan ehsan rakyat mulai esok

SHAH ALAM, 16 OKT: Waktu dan hari peroperasian Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berubah mulai esok.

Agensi menerusi Facebook berkata jualan murah barangan asas itu akan menjelajah pada setiap Sabtu hingga Khamis dari jam 10 pagi hingga 1 petang.

“Hari Jumaat kami ‘off-day’ ya nak ‘restock’ barangan untuk anda.

“Jangan risau, harga masih sama, hari ‘off-day’ dan waktu operasi sahaja berbeza, ok? Terima kasih dan teruskan menyokong inisiatif demi rakyat Selangor ini,” tulisnya.

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :