Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM bubar Parlimen bagi bolehkan pilihan raya umum ke-15

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Parlimen dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra pada 3 petang hari ini, satu pengumuman yang dinanti-nantikan banyak pihak selepas desas-desus mengenainya bertiup kencang sejak akhir September.

Ismail Sabri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari semalam bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan dan menerusi Facebook Live Perdana Menteri.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” kata beliau.

Ismail Sabri berharap rakyat menggunakan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Tempoh mandat kerajaan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” kata Perdana Menteri.

Penetapan tarikh hari penamaan dan hari mengundi serta urusan urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 222 kerusi Parlimen menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya umum kali ini untuk mendapatkan mandat mentadbir Malaysia yang mempunyai 32.4 juta penduduk.

Sebelum Parlimen dibubarkan, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (BN)(43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan STAR.

Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Parlimen Gerik dan Batu Sapi.

Bagi pertandingan kerusi DUN, sebanyak 361 kerusi di Semenanjung dipertandingkan sekiranya negeri-negeri selain Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, turut membubarkan DUN masing-masing.

Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing. PRN Sabah diadakan pada 26 Sept 2020, manakala Melaka pada 20 Nov 2021, Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

Pilihan raya kecil DUN Bugaya di Sabah, masih kosong berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 dijangka diadakan bersekali dengan PRU15.

Bagi membolehkan PRU15 diadakan dengan lancar, beberapa perundangan berkaitan penjalanan pilihan raya turut diwartakan.

Enam Ordinan dan Proklamasi Darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, ditamatkan berkuat kuasa Khamis lepas.

Perintah pembatalan itu dinamakan sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa mulai 5 Okt.

Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 Sept.

Senario pengumuman pembubaran Parlimen kali ini hampir sama dengan situasi pada 1999 yang menyaksikan Parlimen dibubarkan selepas pembentangan belanjawan negara.

Pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 yang menyaksikan peruntukan RM372.3 bilion bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan.

Pada 1999, era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Nov 1999, selepas belanjawan dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Okt tahun sama.

-BERNAMA


Pengarang :