Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis ambil keterangan tiga pelajar bantu siasatan kes buli

SHAH ALAM, 22 OKT: Polis telah merekodkan keterangan tiga pelajar lelaki Tingkatan Satu bagi membantu siasatan kejadian buli melibatkan seorang pelajar lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Banting, dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata pihaknya menerima satu laporan malam tadi daripada seorang suri rumah berusia 40 tahun menyatakan anak lelakinya yang berusia 13 tahun dibuli.

“Semasa kejadian, mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu kesakitan pada pipi akibat dipukul.

“Punca kejadian dipercayai pelajar-pelajar berkenaan tidak berpuas hati dengan mangsa yang tidak hadir bertemu guru disiplin berikutan kegiatan mereka ponteng sekolah pada 12 Oktober lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih mengenai kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Semalam, tular menerusi media sosial, video berdurasi 55 saat memaparkan seorang pelajar menangis selepas ditampar dan ditendang beberapa kali oleh sekumpulan pelajar.

– BERNAMA


Pengarang :