Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 12 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan lelaki disyaki bunuh jiran

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Seorang lelaki ditahan dipercayai memukul jirannya menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah pangsa di Damansara, Petaling Jaya Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sekitar Kota Damansara awal pagi susulan laporan yang diterima pada 9.15 malam.

Beliau berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sepenuh masa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Mohamad Fakhrudin, sebelum kejadian mangsa telah menegur suspek kerana mabuk ketika menaiki lif bersama dan setelah keluar dari lif, suspek bersama seorang lelaki terus mengejar mangsa hingga ke hadapan rumahnya.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul di bahagian kepala dengan menggunakan topi keledar dan sebatang kayu di hadapan rumahnya. Polis merampas satu topi keledar, sebatang kayu dan satu pemetik api di tempat kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Suspek direman hingga 14 Oktober bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu.

Mohamad Fakhrudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail di talian 013-3587571.

– BERNAMA


Pengarang :