AGENDAJENAYAH

Polis tahan suspek kes tembak, mangsa cedera bahagian paru-paru

KOTA BHARU, 23 OKT: Polis Kelantan menahan seorang lelak berusia 35 tahun bagi membantu siasatan kejadian kes tembak sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki di Kampung Aur Tebing, Salor, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menerima laporan kejadian sekitar pukul 11.30 tengah malam tadi daripada pihak Hospital Pasir Mas (HPM) yang memaklumkan seorang lelaki cedera akibat ditembak.

“Berdasarkan laporan, lelaki itu sempat menelefon rakannya bagi memaklumkan bahawa dia ditembak dan berada di Kedai Nasi Lemak 43, Salor, di sini, dan memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian paru-paru kanan itu kemudiannya dihantar ke HPM dengan ambulans, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini untuk rawatan lanjut.

— BERNAMA


Pengarang :