Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.
AGENDANASIONAL

Polis tahan warga asing disyaki bunuh teman wanita

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Seorang lelaki warga asing ditahan kelmarin kerana dipercayai membunuh kekasihnya di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sekitar Sentul pada 7.25 petang.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat seorang wanita berusia 36 tahun dijumpai terbaring di atas lantai dan telah meninggal dunia dalam sebuah bilik di hotel tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lilitan di leher perempuan warga tempatan tersebut akibat dijerut menggunakan tali yang turut ditemukan di lokasi kejadian.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis,” menurutnya dalam kenyataan.

Noor Dellhan berkata semakan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah namun salinan pasport yang dikemukakan telah tamat tempoh.

Katanya lelaki itu ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA

 


Pengarang :