Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan. Foto Facebook POLIS DAERAH SERDANG
AGENDANASIONAL

Polis terima laporan dakwaan 40 peniaga ‘bundle’ ditipu

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan sekumpulan penyewa tapak jualan pakaian terpakai atau ‘bundle’ yang mendakwa ditipu pengurus acara di sebuah pusat beli-belah di Serdang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 41 tahun iaitu pengurus acara itu mendakwa penyewa tapak acara berkenaan tidak berpuas hati dengannya dan meminta mengembalikan wang mereka.

Beliau berkata siasatan mendapati kira-kira 40 peniaga terlibat dan turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Siasatan dijalankan dan kedua-dua pihak iaitu pengurus acara serta penyewa tapak sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Pihak penyewa juga mengesahkan akan memulangkan kembali barang yang diambil untuk tujuan cagaran dan penganjur acara jualan itu membuat laporan untuk rujukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan.

Sebelum ini, tular dalam media sosial sebuah video berdurasi satu minit 12 saat yang memaparkan beberapa peniaga baju terpakai mengamuk selepas didakwa ditipu oleh penganjur acara jualan ‘bundle’ dengan nilai kerugian mencecah RM36,000.

– BERNAMA


Pengarang :