Selebriti Nana Mahazan menunjukkan sambal bilis di gerai pameran Selauk Nana ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Produk sambal laris, Nana Mahazan teruja SIBS buka peluang niaga

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Selebriti Nana Mahazan memuji penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 yang menyediakan banyak program dan kemudahan buat usahawan.

Turut mengambil peluang menjual sambal bilis dan sambal bilis petai jenama Selauk Nana, bekas peserta Akademi Fantasia itu teruja produknya mendapat sambutan luar jangka.

“Sebenarnya saya datang sini hendak cari padanan perniagaan tetapi tidak sangka jualan pun tinggi. Selain itu, ada banyak agensi beri pelbagai geran dan kemudahan untuk kembangkan perniagaan.

“Peluang dapatkan kemudahan ada tetapi mungkin kita tidak tahu sebelum ini. Bila kita datang sini barulah kita tahu kerajaan sediakan banyak peluang yang beri manfaat kepada peniaga,” katanya.

Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan turut menggesa usahawan lain supaya tidak melepaskan peluang untuk menyertai SIBS dalam penganjuran akan datang.

“Tahun depan memang saya mahu sertai lagi sebab Nana Mahazan International ada tiga jenama. Kalau boleh nak masuk dalam bidang lain seperti kecantikan Nana Mahazan Beauty dan Sisterhood,” katanya.

Pelakon dan pengacara televisyen Jaafar Onn (tiga, kiri) bersama pempamer menunjukkan santan kelapa di gerai pameran Sunbell Food Industries Sdn Bhd ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pelakon dan pengacara Jaafar Onn pula menyifatkan sidang niaga itu memberi ruang kepadanya memperkenalkan produk sendiri melalui program masakan.

Pernah berkolaborasi dengan Halal Fest selama tujuh tahun, dia turut berharap acara tahunan itu diteruskan kerana memberi peluang untuk usahawan meluaskan rangkaian rakan niaga.

“Macam kita jual santan, kenalah yakinkan pelanggan dengan buat masakan yang sedap. Bila masakan sedap baru orang yakin,” kata duta santan kelapa Sun Bell.


Pengarang :