Peta lokasi dan komponen projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2. Foto Facebook Edry Faizal
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek tebatan banjir Sungai Langat bermula dalam masa terdekat

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 4 OKT: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bakal bermula dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata projek itu akan dilaksanakan dari muara Sungai Lui sehingga Desa Nanding, Hulu Langat.

ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof

“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Hulu Langat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberikan taklimat mengenai RTB yang telah diluluskan peruntukannya dan akan bermula tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Katanya, RTB itu akan membabitkan pembinaan kolam takungan, pelebaran dan pendalaman sungai, pembinaan pintu air dan rumah pam serta pengukuhan dan penstabilan tebing.

“Kolam takungan yang bakal dibina bersaiz kira-kira 43 hektar diharap mengurangkan risiko banjir bukan sahaja untuk kawasan selepas Nanding tetapi hingga ke Sepang,” katanya.

Edry Faizal menambah bagi mengatasi masalah banjir puing yang berpunca daripada kepala air pula, beberapa empangan sabo akan dibina di bahagian hulu.

Selain Shah Alam, Hulu Langat antara kawasan yang terjejas teruk dalam bencana banjir pada Disember tahun lalu.


Pengarang :