AGENDANASIONAL

Prolintas turun kadar tol empat lebuh raya hingga 15 peratus mulai esok

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kadar tol empat lebuh raya di bawah pengendali lebuh raya bandar terbesar di Lembah Klang, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) akan diturunkan antara lapan dan 15 peratus mulai 12.01 tengah malam, Khamis (20 Oktober).

Prolintas dalam kenyataan hari ini berkata lebuh raya itu adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan Kelas Satu (kenderaan mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), Kelas Empat (teksi) dan Kelas Lima (bas) di empat lebuh raya terlibat, katanya.

Bagaimanapun, Prolintas berkata, kadar tol adalah tidak berubah bagi kenderaan Kelas Dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan Kelas Tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas).

“Prolintas komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuk dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya, sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendaliannya.

“Syarikat juga akan terus menyokong usaha-usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :