Pengundi muda Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Angkatan Muda HARAPAN lancar manifesto untuk anak muda

SHAH ALAM, 30 OKT: Angkatan Muda HARAPAN melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang mengandungi pelbagai isu utama berkait golongan belia merangkumi pendidikan, kesihatan, keusahawanan, alam sekitar dan sosioekonomi.

Tawaran itu antaranya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberikan autonomi kepada pentadbiran institut pengajian tinggi dengan pemegang taruh dalam hal tadbir urus akan dikembalikan semula kepada pelajar, pensyarah serta alumni.

Turut diperkenalkan program Kembara Siswa bagi meringankan beban mahasiswa yang mahu pulang kampung dengan menawarkan tiket pada harga tetap iaitu RM199 untuk penerbangan antara Sabah dan Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya.

Bagi meringankan beban komitmen perumahan dalam kalangan belia, HARAPAN akan mengusahakan penyediaan rumah transit belia, rumah mampu milik, mampu sewa, kos rendah dan kos sederhana yang mencukupi di lokasi yang memerlukan.

Angkatan Muda HARAPAN juga menggalakkan pertumbuhan keusahawan dengan menyediakan dana khusus, skim latihan dan langkah pemudahcara bagi belia yang berminat menceburi bidang perniagaan.

Berikut tawaran lain yang dikemukakan Angkatan Muda HARAPAN:

Pendidikan

  • Memperkenalkan program pengampunan hutang PTPTN bersasar khas kepada golongan miskin isi rumah B40.
  • Biasiswa B40 bagi mengurangkan kebergantungan golongan kurang mampu kepada kemudahan pinjaman seperti PTPTN.
  • Biasiswa Perintis khusus bagi belia yang berminat menceburi bidang ekonomi baharu seperti industri penjagaan bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU, sektor pertanian moden dan sektor hijau.
  • Memastikan semua pelajar SPM dan STPM yang cemerlang serta benar-benar layak berpeluang ke IPTA.

Sosioekonomi

  • Mewujudkan jaminan keselamatan sosial bagi melindungi kebajikan 6 juta pekerja ekonomi sampingan meliputi penubuhan badan kawal selia, kontrak perjanjian, skim insurans hayat percuma dengan pampasan khairat kematian RM10,000.
  • Menaik taraf Kad Siswa kepada Kad Belia yang akan digunakan golongan berumur 13 hingga 25 tahun. Pemegang kad mendapat faedah promosi dan diskaun di tempat perniagaan terpilih.
  • Bantuan bulanan untuk setiap keluarga akan diberikan mengikut bilangan anak berumur 6 tahun ke bawah bagi meringankan beban keluarga miskin selain memastikan pertumbuhan kanak-kanak tidak terbantut.

Pekerjaan

  • Memperkenalkan sistem perkembangan kerjaya. Syarikat penyedia ekonomi sampingan diberikan insentif khas jika membangunkan kemahiran dan kerjaya pekerja gig manakala lepasan SPM dan ke bawah diberi galakan menceburi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
  • Memperkasa program petani muda dan program padanan bakat antara industri dan anak muda yang berminat menceburi bidang pertanian.
  • Kemahiran urus kerjaya melibatkan atlet termasuk e-sukan. Atlet didedahkan dengan ilmu pengurusan kewangan dan kemahiran berkomunikasi.
  • Bekerjasama dengan pemain industri dalam sektor berkaitan TVET untuk melatih berdasarkan konsep menempat dan melatih. Selain itu lebih banyak pusat latihan TVET akan dibina di kawasan yang tidak mempunyai rakan strategik industri yang relevan.
  • Pelan dasar gaji minimum yang tersusun bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.
  • Menangani halangan diskriminasi dari segi kaum, agama, jantina, keupayaan fizikal dan mental serta jurang pendapatan antara jantina.

Alam sekitar

  • Meningkatkan pelaburan dalam ternaga boleh diperbaharui. Lebih banyak insentif diberikan kepada premis persendirian termasuk perumahan yang beralih kepada tenaga solar.
  • Menggubal akta perubahan iklim. Usaha ini dimulakan kerajaan HARAPAN tetapi tergendala selepas Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan negara.

Kesihatan

  • Perlindungan kesihatan mental secara holistik meliputi skim insurans.
  • Menangani diskriminasi cubaan bunuh diri serta nenyegerakan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk tidak lagi menjadikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah.
  • Reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan bagi mengurangkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan, pemodenan fasiliti dan waktu operasi fleksibel di klinik kesihatan berkepadatan penduduk tinggi.
  • Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menangani isu doktor kontrak.
  • Meluaskan program MySalam kepada golongan M40.
  • Mengembangkan program Skim Peduli Kesihatan (PeKa) B40 kepada M40.

Reformsi institusi

  • Memperluas hak mengundi kepada pengundi luar kawasan terutama diaspora Sabah dan Sarawak yang berasal di semenanjung serta mereka yang bekerja atau belajar di Sabah dan Sarawak

Pengarang :