Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN di Melaka pada 10 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: HARAPAN lancar manifesto Khamis depan – Anwar

PETALING JAYA, 13 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka melancarkan manifestonya sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Khamis depan (20 Oktober).

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelancaran itu adalah sempena Konvensyen HARAPAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh, Perak yang diawalkan daripada jadual asal pada 29 Oktober.

“…kita tidak mahu (manifesto) yang panjang, (sebaliknya) kita akan cuba sedaya upaya sebaik mungkin. Tetapi teras manifesto mesti (berkaitan) kos sara hidup, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan serta menghapuskan rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini hari ini.

Anwar turut mengumumkan penyertaan ahli baharu KEADILAN iaitu bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Pada 7 Oktober lepas, Rais Hussin mengumumkan keluar daripada Bersatu selepas menghantar surat rasmi mengenai perkara itu sehari sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :