Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli berucap ketika Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 27 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRU15: HARAPAN selesai agih hampir semua kerusi

GEORGE TOWN, 2 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) telah menyelesaikan pembahagian bagi hampir semua kerusi dalam kalangan parti komponennya bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli berkata ketika ini, semua negeri telah menyelesaikan pembahagian kerusi kecuali Kedah dan Sabah yang masih berunding membabitkan dua atau tiga kerusi sahaja, dan keputusan rundingan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN pada Rabu ini.

“Kita yakin dapat selesaikan menjelang Rabu ini (Mesyuarat Majlis Presiden). Untuk kerusi Parlimen, KEADILAN, Amanah dan DAP bakal mendapat tambahan kerusi pada PRU15 yang mana 52 kerusi di Semenanjung yang dulunya ditandingi Bersatu pada PRU14, akan dibahagikan kepada semua parti dalam HARAPAN.

“Bagi Sarawak tidak menjadi isu sangat sebab Bersatu tidak bertanding di situ pilihan raya lepas…jadi tidak banyak beza dari segi agihan. Cuma di Sabah kita kena berunding dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang sebelum ini parti itu bukan dalam HARAPAN. Itu makan masa sikit,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall di sini hari ini.

Sementara itu, Rafizi yang juga pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata beliau berhasrat bertanding di kerusi parlimen Pandan pada PRU15 nanti dan telah menyuarakannya kepada pucuk pimpinan parti yang belum memuktamadkan senarai calon.

“Saya sudah menyatakan dengan jelas saya mahu mempertahankan (kerusi parlimen) Pandan, sedang menunggu keputusan parti. Ini kerana saya boleh berkempen dengan lebih berkesan di peringkat nasional untuk calon KEADILAN, jika saya bertanding di Pandan, di mana kami mempunyai sokongan sangat baik dan cukup mantap,” katanya.

Bekas ahli parlimen Pandan itu berkata pada PRU14, beliau memberi laluan kepada Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika itu Presiden KEADILAN, kerana kerusi parlimen Pandan antara kerusi KEADILAN yang paling baik.

“Kita bersetuju presiden parti ambil alih kalau tidak kerusi itu jadi rebutan (pada PRU14). Wan Azizah sangat serba boleh dan beliau sudah pun buktikan (pada PRU14). Cuma untuk saya contohnya, oleh kerana kempen (PRU15) di seluruh Malaysia, jadi memang lebih logik saya bertanding di Pandan kerana itu pangkalan saya dan itu bagi saya ruang berkempen di banyak kerusi di seluruh Malaysia,” katanya.

Rafizi memenangi kerusi Pandan pada 2013, ketika beliau pertama kali bertanding untuk kerusi parlimen menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Lim Chin Yee, dengan majoriti 26,729 undi.

Beliau tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU14 selepas tidak layak bertanding kerana proses rayuan yang masih berjalan membabitkan hukuman 30 bulan penjara yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Februari 2018, selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan milik National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Pada PRU14, Wan Azizah yang mewakili KEADILAN di kerusi itu menang besar 52,543 undi majoriti menewaskan calon BN Leong Kok Wee.

Pada November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asli seperti diperuntukkan dalam Seksyen 65(1)(c) Akta Keterangan 1950.

-BERNAMA


Pengarang :