Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir ketika pelancaran kesiapsiagaan bomba Selangor berdepan monsun timur laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRU15 jejas usaha bantu mangsa banjir, negeri giat buat persiapan rapi

SHAH ALAM, 12 OKT: Operasi menangani banjir dan menghulur bantuan kepada rakyat dikhuatiri terjejas jika bencana tersebut berlaku ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berlangsung.

Namun, Dato’ Menteri Besar yakin pegawai negeri yang terlibat pengurusan bencana mampu memainkan peranan bagi memastikan persiapan yang diatur berjalan lancar.

“Pengerusi bencana daerah adalah pegawai daerah dan tidak terlibat atau bertanding dalam PRU, begitu juga dengan setiausaha Kerajaan Negeri yang memainkan peranan sebagai pengerusi bencana.

“Mungkin terjejas sedikit tetapi saya percaya kita mampu menanganinya dan berdepan situasi itu. Sudah pasti tidak selesa untuk semua orang, sebab itu kita berfikir lebih baik tunggu masa lebih sesuai (untuk PRU),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kelengkapan mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi bencana selepas menghadiri program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor mengambil beberapa inisiatif selain menyediakan pelbagai kemudahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Amirudin berkata persiapan tidak hanya tertumpu kepada sumber manusia sebaliknya meliputi peralatan menyelamat, kemudahan pusat penempatan sementara dan pos pangkalan hadapan.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan supaya Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan seperti pembubaran Parlimen.

Baginda bertitah pentadbiran negeri perlu diteruskan supaya dapat menumpukan usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Pada 5 Oktober, Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan tiga negeri tadbirannya iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.


Pengarang :