Pelajar baharu Universiti Selangor (Unisel) melafazkan ikrar pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya pada 20 November 2021. Foto Facebook Unisel
AGENDANASIONAL

PRU15: Pelajar IPT diberi pelepasan pulang mengundi

SHAH ALAM, 22 OKT: Semua pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi pelepasan selama lima hari bermula 17 hingga 21 November untuk pulang mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Husaini Omar berkata berlandaskan kepada semangat serta penguatkuasaan Undi18 pihaknya bersetuju supaya semua IPT memberi pelepasan kepada pelajar untuk menunaikan tanggungjawab tersebut, lapor portal Berita Harian.

“Tarikh pelepasan adalah dari 17 hingga 21 November 2022 bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke atau dari lokasi mengundi.

“Semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh berkenaan hendaklah ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain,” katanya dalam surat edaran bertarikh semalam.

Sementara itu Prof Husaini ketika dihubungi mengesahkan mengenai edaran surat berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

Berkuat kuasa 15 Disember lalu, Undi18 sudah diwartakan dan individu yang berusia 18 tahun akan didaftarkan secara automatik sebagai daftar pemilih.

Berdasarkan data, seramai 1.14 juta orang yang tergolong pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15.


Pengarang :