Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 6 Mei 2021. FotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Polis gerakkan 94,411 pegawai, anggota seluruh negara

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak seramai 94,411 pegawai dan anggotanya daripada 120,557 warga pasukan itu di seluruh negara untuk penugasan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM mengambil maklum pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bagi memberi laluan untuk PRU15.

Beliau berkata PDRM juga akan bekerjasama dengan semua agensi terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik itu nanti lancar.

“Selain penempatan anggota dan kerjasama dengan SPR, PDRM turut mengatur persediaan untuk berganding bahu dengan agensi penyelamat bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU15.

PDRM meminta orang ramai agar bekerjasama memainkan peranan agar pilihan raya umum kelak berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan.

Menurutnya, PDRM komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

– BERNAMA


Pengarang :