Situasi banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam susulan hujan lebat luar biasa pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRU15 tempoh terdekat, Jabatan Meteorologi nasihat jangan ambil risiko

SHAH ALAM, 6 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sangat tidak menggalakkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim monsun timur laut.

Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia Hisham Mohd Anip berkata negara ketika ini sedang mengalami fasa peralihan monsun dan banjir dilihat sudah kerap berlaku di seluruh negara, lapor portal Astro Awani.

“Kita di pihak pengurusan bencana tidak galakkan (menjalankan PRU15). Kenapa nak ambil risiko, dalam situasi kita nak menghadapi monsun timur laut, kita tahu akan berlaku banjir di banyak tempat.

“Kalau dilihat, di Johor, Melaka dan Perak pun sudah banjir, jadi dari segi kesesuaian cuaca, memang tidak sesuai untuk adakan pilihan raya,” katanya dalam webinar berjudul “Cabaran Perubahan Iklim: Bersediakah Kita?” sempena Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut 2022/2023, hari ini.

Minggu lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan dalam tahun ini juga.

Susulan keputusan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai yang PRU15 akan berlangsung dalam keadaan banjir.

Dalam pada itu, Hisham memaklumkan, kadar hujan yang direkodkan di seluruh negara tidak menampakkan perubahan yang signifikan secara keseluruhannya, namun dilihat dari segi wilayah, negeri di tengah semenanjung mencatatkan pertambahan hujan, berbanding negeri lain.

“Di Semenanjung, tiada perubahan signifikan dari segi kadar hujan, tetapi kalau dipisahkan mengikut wilayah, di pantai timur, hujan semakin menurun, di utara tidak banyak berubah.

“Yang meningkat ialah di negeri tengah Semenanjung, Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan. Di Johor, trend hujan juga menurun, manakala Sabah dan Sarawak tidak banyak perbezaan,”jelasnya.


Pengarang :