Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membuat lawatan ke Pusat Kardiologi selepas Penyerahan Projek Pusat Kardiologi Hospital Serdang di Pusat Jantung Hospital Serdang pada 17 Okt 2022. Foto BERNAMA
SELANGOR

Pusat jantung Hospital Serdang beroperasi Disember ini

SERDANG, 17 OKT: Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, yang akan memulakan operasinya 12 Dis ini, dijangka dapat mempercepatkan proses rawatan pesakit dan tempoh menunggu bagi rawatan angiogram (pengimejan saluran arteri), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pengoperasian pusat kardiologi itu, akan memendekkan tempoh menunggu daripada 18 bulan kepada hanya sembilan bulan bagi kes elektif yang stabil, manakala rawatan kes kecemasan diberi serta-merta.

Beliau berkata fasiliti kesihatan dengan kos keseluruhan RM546 juta itu, dilengkapi dengan dewan bedah hybrid iaitu yang pertama seumpamanya dalam fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), dan memberi manfaat kepada hingga 250 pesakit setahun.

“Hospital Serdang menjadi pusat rujukan rawatan jantung bagi Wilayah Tengah dan kes jantung kompleks dari seluruh negara dengan lebih 40,000 pesakit luar dan 12,000 rawatan invasif, termasuk angiogram serta angioplasti koronari setahun, dengan adanya bangunan baru ini, perkhidmatan jantung Hospital Serdang mampu menerima dua kali ganda jumlah pesakit.

“Kemudahan dewan bedah itu turut dilengkapi dengan peralatan canggih membolehkan kes-kes kompleks yang memerlukan kepakaran pakar bedah dan jantung, dilaksanakan dalam tempat yang sama,” katanya pada majlis penyerahan fasiliti itu, hari ini.

Khairy berkata pusat kardiologi satu blok setinggi lapan tingkat itu, selain menempatkan 262 katil ia juga dilengkapi dengan seunit mesin MRI 3.0 Tesla khusus bagi pengimejan diagnostik jantung, yang memberi imej empat kali lebih jelas berbanding mesin MRI biasa.

Beliau berkata sebuah Makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED) yang setanding dengan negara maju pula, membolehkan kes-kes serangan jantung akut menerima rawatan segera dan terbaik.

Khairy berkata dengan pengoperasian pusat jantung itu, ia sekali gus meningkatkan kemampuan melaksanakan prosedur jantung dari 35,000 kepada 60,000 prosedur setahun, menjadikan ia fasiliti kardiologi invasif terbesar di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata pusat jantung itu akan beroperasi sepenuhnya di bawah KKM dan ia bukan sahaja mampu merawat lebih ramai pesakit jantung dari seluruh negara, malah menjadi fasiliti latihan kepada ramai pakar perubatan kardiologi.

-BERNAMA


Pengarang :