Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memasang khemah di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Shifa, Langkawi pada 16 Oktober 2022 yang dibuka untuk pemindahan mangsa banjir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pusat pemindahan sementara ditutup, banjir di Langkawi pulih sepenuhnya

ALOR SETAR, 23 OKT: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Langkawi yang dibuka sejak 16 Oktober lalu, ditutup sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata kesemua 56 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di Dewan Syifak di bawah Mukim Padang Matsirat itu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Mangsa yang terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, dua lelaki warga emas, empat wanita warga emas, 13 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak yang berada di PPS itu dibenarkan pulang selepas air surut sepenuhnya di kawasan rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shahfikri berkata beberapa kawasan di Langkawi yang melibatkan beberapa mukim antaranya Mukim Padang Matsirat, Mukim Kuah, Mukim Bohor dan Mukim Kedawang terjejas dengan banjir selepas hujan seawal 4 pagi pada 16 Oktober itu, sehingga PPS berkenaan diaktifkan lebih kurang 8 malam.

“Antara agensi yang ditugaskan bagi membantu mangsa banjir adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :