AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Qariah Malaysia johan tilawah, MB harap kemenangan tingkat syiar Islam

SHAH ALAM, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada qariah Malaysia Sofizah Mousin, yang dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan qariah itu yang memperoleh markah 89.66 peratus, sebelum ini  juga menjuarai Majlis Tilawah Kebangsaan Jun lalu mewakili Selangor.

“Tahniah, semoga kemenangan beliau menaikkan syiar dan kemuliaan al-Quran dalam masyarakat,” tulisnya di Facebook malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini melancarkan Akademi Literasi al-Quran yang berpusat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Qari Bahrain Mohamed Sameer Mohamed Magahed dan qariah Malaysia Sofizah Mousin diumum johan tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2022. Foto BERNAMA

Menurut Amirudin, usaha tersebut untuk meningkatkan celik dan kualiti pembacaan serta pemahaman umat Islam selain berupaya mengamal dan berkebolehan memperseni kitab suci itu.

Selain Sofizah, Qari Bahrain Mohamed Sameer Mohamed Magahed yang meraih markah 93.33 peratus turut diumum johan tilawah, sekali gus membawa pulang wang tunai dan piala.

Majlis yang berlangsung selama enam hari bermula Rabu lepas melibatkan 36 peserta dari 28 negara, diadakan semula selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19.

Bagaimanapun, hanya kategori tilawah yang dipertandingkan kali ini manakala kategori hafazan akan kembali tahun hadapan.

 


Pengarang :