Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli ketika berucap pada majlis pengumuman calon KEADILAN di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, Ampang pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rafizi gesa calon KEADILAN segera dekati pengundi

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

AMPANG, 29 OKT: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa semua calon parti itu segera memulakan kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Rafizi Ramli berkata semua calon kecuali Sabah dan Sarawak ada kelebihan seminggu lebih awal berikutan parti lawan belum memuktamad senarai wakil mereka.

“Esok sila turun jumpa rakyat dan jentera serta-merta. Anda (calon) ada tempoh satu minggu yang lebih (panjang) untuk dekati rakyat,” katanya dalam majlis pengumuman 72 calon parti itu di Taman Kosas di sini malam tadi.

Semua calon turut menandatangani bon aku janji, persetujuan pemulangan yuran deposit pencalonan dan persetujuan pemotongan elaun wakil rakyat.

Calon-calon KEADILAN untuk Sabah dan Sarawak akan diumumkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Miri pada minggu depan.

Rafizi yang juga pengarah pilihan raya KEADILAN juga mengingatkan pimpinan atasan parti yang tersenarai supaya membantu calon lain bagi memastikan kemenangan.

“Anda semua yang bertanding ini ada kerusi masing-masing tapi (terutama yang naib-naib presiden, yang kanan-kanan semua) jangan fikir perut sendiri dan kerusi sendiri.

“Sila berkempen untuk yang muda dan baru supaya kita boleh bantu mereka menang. Kalau kita menang tapi kawan lain tak menang tak guna juga,” katanya.


Pengarang :