Seorang rakyat Malaysia yang mengalami serangan strok di Korea Selatan baru-baru ini, Azhar Mohamad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 19 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia alami strok selamat pulang dari Korea Selatan

SEPANG, 20 OKT: Rakyat Malaysia, Azhar Mohamad, 37, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan, akibat serangan strok pada 31 Ogos lalu, tiba di tanah air, semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyambut ketibaan Azhar dari Seoul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.15 petang dengan ditemani dua adik perempuannya, Fazillah, 35, dan Norul Hanim, 34, serta sepupunya, Noradilawaty Zainol, 44.

Azhar, yang bekerja sebagai operator kilang di Korea Selatan selama lima tahun, kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) di Kuantan bagi menjalani rawatan lanjut.

Saifuddin, ketika ditemui, berkata Bahagian Konsular, Kementerian Luar menerima makluman dari Malawakil Seoul memaklumkan Azhar berada di Republik Korea sedang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 31 Ogos.

Menurutnya, pihak konsular mengadakan lawatan ada 22 September lepas dan susulan itu, Malawakil telah memberi bantuan sewajarnya kepada Azhar dan ahli keluarganya.

Katanya, bantuan yang diberikan termasuk menyelaras urusan dengan pihak hospital, syarikat penerbangan serta pengeluaran Sijil Kecemasan (EC) bagi membolehkan kepulanganya ke tanah air.

Saifuddin berkata kementeriannya akan mencari jalan bagi membantu Azhar melunaskan sejumlah besar daripada kos rawatan melebihi RM280,000 dengan sebahagiannya sudah dilunaskan oleh ahli keluarga dan sumbangan orang ramai.

Katanya, pihak hospital bersetuju bahawa baki kos perubatan (anggaran RM126,000) dilunaskan secara ansuran selama 12 bulan.

Beliau menasihatkan warga Malaysia di luar negara untuk mendaftar keberadaan mereka dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang berhampiran bagi memudahkan menghulurkan bantuan sekiranya berhadapan sebarang kecemasan.

– BERNAMA


Pengarang :