Pelakon dan kru menjalani penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mencetuskan fenoma di seluruh negara. Foto Instagram syamsulyusoffilm
AGENDANASIONAL

RM100 juta pacu industri kreatif, galak hasil filem ala Mat Kilau

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM100 juta kepada industri kreatif tempatan pada tahun depan menerusi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) dan Dana Kandungan Digital bagi memacu industri berkenaan.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat seperti ‘Sarjan Hassan’, ‘Leftenan Adnan’, Óla Bola’ dan ‘Mat Kilau’.

“Kejayaan ‘Mat Kilau’ dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini. Maka, kerajaan akan menyediakan RM50 juta sebagai Dekan bagi memacu industri kreatif tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif, Tengku Zafrul berkata sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan diberi potongan cukai.

“Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mempergiat Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan RM25 juta bagi mengelakkan khazanah seni menjadi lapuk dan ditelan zaman.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan tiga inisiatif bagi menggalakkan penghasilan, pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan pada tahun depan.

Inisiatif pertama ialah mempergiat usaha pendigitalan dan automasi antaranya melalui galakan aktiviti e-dagang di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tengku Zafrul berkata sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan bagi memperkasa usahawan francais di bawah program pembangunan kapasiti vendor 2.0 serta geran penyelidikan dan pengkomersialan vendor 2.0.

Selain itu, kerajaan menyediakan RM10 juta bagi menggalakkan pembelian produk buatan tempatan melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :