Keadaan di Jalan Sultan Azlan Shah yang dinaiki air selepas hujan lebat melanda sekitar ibu kota ketika tinjauan pada 25 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM2 bilion bina kolam takungan dwifungsi Sungai Klang, Sungai Rasau

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan memperuntuk hampir RM2 bilion bagi pembinaan kolam takungan dwifungsi sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kolam itu berfungsi mengatasi masalah banjir dan sumber penyimpanan bekalan air mentah.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM15 bilion.

“Bagi 2023, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta,” katanya ketika membentang Bajet 2023 di Parlimen hari ini.

Zafrul berkata RM562 juta disediakan bagi projek Empangan Sabo membabitkan 46 lokasi di seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi di Baling, Kedah.

Katanya, hampir RM500 juta disalur untuk mengerakkan projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan selain menaik taraf sistem ramalan cuaca.

Bajet 2023 menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM372.3 bilion berbanding RM332 bilion (2022) dan RM322 bilion (2021).

Sebanyak RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM95 bilion bagi pembangunan selain RM5 bilion bawah Kumpulan Wang Covid-19 dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.


Pengarang :