EXCO Perumahan, Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah di Taman Sungai Yu Indah, Kuala Selangor pada 12 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rodziah azam kekalkan kerusi KEADILAN, kerap tabur khidmat di Ampang

AMPANG, 29 OKT: Calon kerusi Parlimen Ampang tekad memastikan kawasan itu kekal menjadi milik Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Rodziah Ismail yang juga EXCO pembangunan usahawan berkata beberapa perkara penting akan diberi tumpuan sekiranya mendapat mandat penduduk Ampang.

“Saya tidak kekok dengan Ampang memandangkan sudah lebih setahun di sini. Sebenarnya banyak perkara kita boleh buat dan saya akan umum lima hingga 10 perkara (untuk rakyat).

“Insya-Allah saya akan berusaha supaya KEADILAN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) kekal di Ampang. Saya yakin semangat diberikan rakyat berterusan sampai ke penghujung (PRU),” katanya.

Malam tadi, Rodziah dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Ampang, yang dimenangi Datuk Zuraida Kamaruddin yang kemudian bertindak keluar KEADILAN pada Februari 2020.

Beliau antara 72 calon yang diumum dalam majlis menandatangani bon aku janji, persetujuan pemulangan yuran deposit pencalonan dan persetujuan pemotongan elaun wakil rakyat.

Mengulas saingan kerusi itu, Rodziah mengakui beliau belum mengetahui calon yang bakal menjadi pencabarnya namun tidak menolak kemungkinan Zuraida.

“Saya belum dengar siapa calonkan diri (di Ampang) tetapi yang pastinya sejarah menunjukkan (pesaing) utama Zuraida.

“Apabila parti meletakkan saya di sini bukan isunya siapa yang hendak kita cabar, tetapi isunya kita mahu pastikan kemenangan milik HARAPAN dan KEADILAN,” katanya.


Pengarang :