Penyokong hadir memenuhi pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab ketika ceramah Jelajah Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang #MohTukor di pada 19 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RUU Antilompat Parti peluang HARAPAN singkir ‘pengkhianat’, kata Amirudin

MENTAKAB, 20 OKT: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti yang diluluskan Dewan Negara memberi peluang kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) menyingkirkan ahli yang lari daripada perjuangan asal.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RUU yang diperjuang gabungan itu menggembirakan rakyat yang terkesan rentetan peralihan kerajaan melalui Langkah Sheraton.

“Sejak Langkah Sheraton sampai sekarang negara tidak pernah aman, perdana menteri bertukar, menteri silih berganti dan dasar-dasar bercelaru.

“Jadi mungkin ada hikmah kita dikhianati kerana kita ada peluang bersihkan dan lontar pengkhianat. Katak-katak politik kita boleh tenggelam serta hapuskan dalam sejarah politik Malaysia,” katanya.

Beliau berucap pada ceramah Jelajah HARAPAN Pahang di pekarangan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab dekat sini malam tadi.

Pada 28 Julai, RUU Antilompat Parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Menerusinya, wakil rakyat akan hilang kerusi jika mereka menukar parti.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada ahli parlimen yang dipecat parti atau parti diwakili dibubarkan dan dibatal pendaftaran atau dilantik sebagai ahli Dewan Negara.


Pengarang :