EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabathirau berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sambutan Deepavali dianjur di Jalan Tengku Kelana, lokasi popular pelbagai bangsa

KLANG, 22 OKT: Sambutan Deepavali peringkat negeri pada tahun ini dianjurkan di Jalan Tengku Kelana, di sini kerana lokasinya yang sinonim dengan masyarakat India.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata Jalan Tengku Kelana atau dikenali sebagai Little India Klang sentiasa menjadi tumpuan untuk membuat persiapan dan membeli kelengkapan perayaan Deepavali.

“Jalan Tengku Kelana adalah pusat setempat kepada masyarakat India untuk memilih barangan dan keperluan dengan harga berpatutan malah turut menjadi lokasi popular pelbagai bangsa.

“Dengan memilih Jalan Tengku Kelana, sambutan Deepavali dapat diraikan bersama-sama masyarakat setempat dengan kehadiran ramai pengunjung tanpa mengira agama, budaya dan kaum,” katanya berucap pada sambutan Deepavali peringkat negeri di Jalan Tengku Kelana di sin,i malam tadi

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke sambutan yang dihadiri lebih 1,000 masyarakat India serta menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.

Terletak di Bandar Klang Selatan, Jalan Tengku Kelana atau dikenali sebagai Little India Klang merupakan kawasan membeli-belah popular setiap kali menjelangnya Deepavali.

Premis di lokasi ini menjual pelbagai barangan untuk kegunaan kaum india seperti sari, tekstil, barangan logam, barang kemas, rempah ratus dan makanan tradisi.

Orang ramai hadir sambutan Deepavali peringkat negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :