Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat daerah Klang ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sanggup datang berulang kali, rakyat harap jualan murah diteruskan

KLANG, 23 OKT: Harga murah barangan asas yang ditawarkan di Jelajah Ehsan Rakyat membuatkan orang ramai datang beberapa kali ke program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

Pekerja swasta Kamal Syazwan, 29, berkata harga jualan beras, telur ayam dan minyak yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran mendorong dia datang kali kedua meskipun terpaksa beratur panjang.

Kamal Syazwan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Beza harga barang memang jauh, boleh kata RM5 sehingga RM10. Memang banyak, sebab itu saya sanggup datang buat kali kedua ke sini walaupun jalan sesak.

“Saya harap jualan murah ini dibuat dari semasa ke semasa kerana barang dapur memang mahal sekarang,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Suleiman, di sini hari ini.

Sementara itu ibu tunggal, Noor Azizah Mohd Noor, 33, berkata inisiatif tersebut membantu mengurangkan kos perbelanjaan barangan dapur.

Noor Azizah Mohd Noor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebagai ibu tunggal yang jaga dua orang anak, sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang pergi ke jualan murah seperti ini.

“Sebelum ini saya tak dapat datang kerana bekerja, hari ini saya lapang, jadi cepat-cepat datang dan beli barang keperluan keluarga,” katanya.

Nurul Anisah Ahmad Zuhaili, 17, pula menunggu sejak jam 8 pagi di stadium sebelum jualan dibuka pada jam 9.30 pagi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Klang itu berkata dia hadir ke jualan murah tersebut kerana ibunya meminta membeli barangan dapur.

Nurul Anisah Ahmad Zuhaili. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Dari semalam emak pesan supaya saya beli barang dapur di sini, katanya murah, bila saya tengok, memang betul kata emak. Harini saya beli ayam, daging dan telur,” katanya dari Jalan Rumbia, Klang.

Pada 25 September, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor membelanjakan RM12 juta untuk subsidi barangan keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat bagi meringankan beban.

Menerusi inisiatif tersebut, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat daerah Klang ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :