Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melihat model rumah ketika majlis pelancaran Rumah Idaman Melur dan program penanaman pokok @ Jelajah Selangor Penyayang di Kita@Cybersouth, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Satu lagi projek Rumah Idaman dilancar, bantu penduduk miliki kediaman

SEPANG, 29 OKT: Dato’ Menteri Besar melancarkan satu lagi projek Rumah Selangorku Idaman di Cybersouth, Dengkil bagi membantu rakyat memiliki kediaman sekali gus menjamin mutu hidup berkualiti.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan Rumah Idaman Melur melibatkan 1,448 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur dijual pada harga RM250,000.

Projek dilaksanakan Permodalan Negeri Selangor Berhad bersama pemaju LBS Bina Group Berhad itu turut dilengkapi separa perabut serta dua tempat letak kereta dijangka siap hujung 2026.

“Majlis ini merupakan satu lagi kejayaan matlamat Kerajaan Selangor untuk memperluaskan pemilikan rumah dalam kalangan pendududuk B40 dan M40.

“Pentadbiran sentiasa prihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyat terutama menyediakan kemudahan perumahan mencukupi, berkualiti dan selesa,” katanya ketika berucap.

Amirudin berkata setakat ini sebanyak 4,631 unit Rumah Idaman dibina membabitkan tiga projek termasuk Rumah Idaman Abadi, Kajang dan Rumah Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam

“Pembinaan Rumah Idaman Abadi Kajang sudah siap dan merupakan antara projek pembangunan pertama diluluskan. Sebahagian unit juga sudah diserahkan kepada pembeli.

“Untuk projek Melur proses jualan bermula hari ini dengan pendaftaran dibuka. Berdasarkan rekod lepas, kita yakin semua unit akan ditempah dalam tempoh sebulan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan inisiatif Kerajaan Negeri membina enam projek Rumah Idaman bagi membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Antara beberapa lagi lokasi lain terlibat ialah Bandar Saujana Putra, Puchong dan Puncak Alam.


Pengarang :