Orang ramai melawat ke gerai pameran Bermaz Auto Berhad ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SDEC pamer kereta elektrik, peluang pengunjung kenali kelebihan dan ciri keselamatan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) mempamerkan  dua unit kenderaan elektrik (EV), Kia EV6 pada pamerannya kali ini.

Jurulatih Teknikal Bermaz Auto Berhad Mohd Nor Akmal Anuar berkata pihaknya bertanggungjawab membawa kenderaan model terbaharu itu khas untuk pengunjung melihatnya lebih dekat sepanjang Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

“Jentera elektrik ini mempunyai kuasa pecutan yang sangat pantas, boleh memecut 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum 183 kilometer sejam (km/j).

“Selain kenderaan ini, kita juga pamerkan alatan-alatan yang terdapat dalam kenderaan elektrik bagi membolehkan orang ramai faham bagaimana ia berfungsi selain tahu ciri keselamatan yang ada pada EV,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pengujung mendengar penerangan kakitangan Bermaz Auto Berhad berkaitan penyelengaraan kenderaan elektrik ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bermaz Auto Berhad antara 113 pempamer yang menyertai SDEC bermula 6 hingga 9 Oktober.

Mohd Nor Akmal menambah, pada masa sama Bermaz Auto Berhad turut menganjurkan program perantis dalam bidang EV kepada belia berusia 17 hingga 22 tahun.

“Menerusi Program Mekatronik BAuto ini, mereka bukan saja belajar mengenai kenderaan elektrik, tetapi pelbagai pembelajaran lain mengenai kereta. Kita yakin pelajar ini akan mempunyai peluang kerja yang luas,” katanya lagi.

Selain SDEC, lima lagi acara utama bawah SIBS termasuklah Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC), Ekspo Penyelidikan serta Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) juga Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark)


Pengarang :