Peserta Festival Wau Kapal Selangor bersama wau masing-masing pada pertandingan di festival berkenaan pada 28 hingga 30 Oktober 2022. Foto Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor lancar pesta seni budaya, tonjol identiti rakyat

SHAH ALAM, 30 OKT: Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor melancarkan program seni dan budaya yang berlangsung sejak Oktober hingga Disember ini.

Pesta Seni dan Kebudayaan Negeri Selangor (PSKNS) 2022 yang dianjurkan secara bersiri bertujuan menonjolkan identiti rakyat menerusi lima acara utama dan lapan acara poket.

“Lima acara utama tersebut ialah Festival Wau Kapal Selangor, Manifestasi Keroncong Selangor, Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022, Konsert Rentak Selangor.

“(Selain itu) Program Menjunjung Kasih Tuanku: Temasya Silat Seni Selangor dan Temasya Cempuling Selangor. Acara ini merupakan tonggak PSKNS 2022,” kata jawatankuasa itu menerusi kenyataan.

Berharap pesta tersebut menjadikan Selangor sebagai destinasi seni, budaya dan warisan negara, Kerajaan Negeri memaklumkan acara tersenarai berlangsung di beberapa lokasi.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah ketika mencuba permainan wau kapal pada Festival Wau Kapal Selangor berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat pada 28 hingga 30 Oktober 2022. Foto Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri

Festival Wau Kapal Selangor berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat. Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai lebih RM30,000 dalam pelbagai kategori.

Manifestasi Keroncong Selangor diadakan pada 16 hingga 18 November di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Hadiah hampir RM40,000 menanti pemenang pelbagai kategori.

Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor dijadual pada 26 dan 27 November di Avani Gold Coast, Sepang yang menghidangkan 2,022 dulang menu tradisi itu.

Konsert Rentak Selangor pada 2 hingga 4 Disember diadakan di Auditorium Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang mengetengahkan muzik, tarian, teater, seni visual dan persembahan tradisi rakyat.

Program Menjunjung Kasih Tuanku dijadual pada 3 dan 4 Disember di Istana Bandar Jugra, Kuala Langat. Acara kelolaan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) memuatkan Temasya Cempuling Selangor dan Temasya Silat Seni Selangor.


Pengarang :