Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik pelancaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor lancar skim insurans percuma, sasar 1 juta rakyat berdaftar hingga hujung tahun

KLANG, 23 OKT: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Klang di Stadium Sultan Suleiman, di sini.

Dirasmikan Dato’ Menteri Besar, skim insurans percuma yang memberi perlindungan kepada enam juta rakyat dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari yakin sasaran satu juta rakyat berdaftar bawah skim berkenaan mampu dicapai susulan lebih 40,000 sudah berdaftar sejak dibuka pada 1 Oktober

“Kita sasar pendaftaran skim insurans ini mencapai satu juta penduduk negeri ini menjelang akhir tahun ini. Kita akan cuba daftarkan enam juta rakyat menerusi skim ini.

“Program ini akan dibaiki dari semasa ke semasa demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya selepas merasmikan jelajah tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI

Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut menyerahkan sijil INSAN kepada lima penerima sebagai simbolik pelancaran.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pemohonan skim berkenaan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay hanya mengambil masa kurang daripada 48 jam untuk diluluskan.

“Rakyat negeri ini hanya perlu memohon menerusi Wavpay atau boleh pergi ke mana-mana pejabat pusat khidmat masyarakat untuk bantuan.

“Wakil rakyat diminta membantu pendaftaran atau masyarakat boleh terus ke kaunter Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selaku pelaksana di Jelajah Selangor Penyayang,” katanya.

Syarat kelayakan bagi menyertai program skim insurans percuma ini hanya nombor kad pengenalan atau alamat didaftarkan serta pengundi di Selangor.

INSAN yang menawarkan perlindungan insurans am berkumpulan kepada individu berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net

 

 


Pengarang :