EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berucap ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Laman Tijarah, Klang pada 1 Oktober 2022. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor lulus skim rumah untuk bujang, pasangan baru kahwin

KLANG, 1 OKT: Kerajaan Negeri meluluskan dasar Rumah SelangorKu 3.0 khas untuk membantu golongan bujang serta pasangan baru berkahwin memiliki kediaman.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata rumah berkenaan bakal dijual pada harga serendah RM120,000 dan dikategorikan sebagai rumah mampu milik.

“Perkara ini akan diumum lebih lanjut oleh Dato’ Menteri Besar dalam masa terdekat. Dasar ini dibuat selepas kita mengambi kira permohonan serta keperluan dua golongan ini.

“Dalam masa sama Kerajaan Selangor juga akan mengumumkan skim perumahan untuk penjawat awam,” katanya pada Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Kampung Kuantan hari ini.

Pada September, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bakal membina rumah satu dan dua bilik untuk golongan bujang serta pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Cadangan lokasi pembinaan sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang dan Shah Alam.

Berhubung pembentangan Belanjawan Selangor 2023 hujung bulan ini, Rodziah menyasarkan 5,000 bekalan Rumah SelangorKu dapat disediakan untuk Skim Sewa Milik Selangor.

Amirudin Shari dijadual membentang belanjawan tahunan di Dewan Negeri Selangor pada 28 Oktober ini.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan Facebook Media Selangor (www.facebook.com/MediaSelangor).


Pengarang :