Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari melawat reruai jualan ketika Majlis penutup Karnival Usahawan I-Seed sempena Deepavali 2022 di Dataran Chetty, Klang pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor salur hingga RM3 juta perkasa komuniti, bantu usahawan India

KLANG, 9 OKT: Kerajaan Selangor memperuntukkan sehingga RM3 juta setahun sejak 2017 bagi membantu pembangunan masyarakat India.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha dilaksana ketika beliau menjadi EXCO pembangunan keusahawanan dan kini kesannya dapat dilihat apabila ramai usahawan India dilahirkan.

“Hari ini kita dapat kumpulkan ramai peniaga. Kenapa boleh lahirkan peniaga ini? Kerana peruntukan sampai kepada mereka.

“Tiada ada orang tengah yang nak ambil untung. Tak ada yang jadi kaya dengan peruntukan disediakan. Semua kos sampai kepada rakyat yang dikhususkan untuk kaum India,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berucap ketika Majlis penutup Karnival Usahawan I-Seed sempena Deepavali 2022 di Dataran Chetty, Klang pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan majlis Karnival Usahawan Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) di Dataran Chetty di sini yang berlangsung mulai Jumaat hingga hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata skim I-Seed akan ditambah baik bagi tahun hadapan menerusi Belanjawan Selangor 2023 yang diumumkan pada hujung bulan ini.

“Sejak dilancar dua tahun lalu, lebih 400 individu menerima manfaat program ini dan akan teruskan pada masa akan datang,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari melawat reruai jualan ketika Majlis penutup Karnival Usahawan I-Seed sempena Deepavali 2022 di Dataran Chetty, Klang pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dilancarkan pada 7 April tahun lalu, program I-Seed bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.

Selain itu, perniagaan perlu aktif dan konsisten, pemohon atau pasangan (suami/isteri) tidak pernah terima bantuan peralatan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor atau program Dana Usahawan Mikro Selangor.


Pengarang :