Anggota Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat membuat persiapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan fenomena air besar ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor salur lebih RM1 juta sedia 20 bot penyelamat tampung keperluan PBT

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Negeri bakal menyalurkan 20 bot penyelamat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam persediaan menghadapi banjir hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan dengan kos RM1.062 juta telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap dalam program temu bual Jendela Fikir ‘Selangor Siap Siaga Banjir’ di Bernama Radio pada 12 Oktober 2022. Foto tangkap layar dari siaran langsung di Facebook

“Semalam menerusi MMKN, kita meluluskan 20 bot dengan peruntukan RM1.062 juta untuk diagihkan kepada PBT. Kita ada 12 PBT yang sebahagiannya sudah memiliki bot dan kita tambah lagi,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

Selain menyediakan bot dan membuka pusat pemindahan sementara, Selangor juga bakal mewujudkan pos pangkalan hadapan bagi mempercepat operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir.

Sebelum ini, semua agensi diarah bersiap sedia berikutan jangkaan taburan hujan antara September hingga Disember boleh menyebabkan banjir, ribut dan tanah runtuh.

Paras purata hujan sepanjang September dianggar antara 170 hingga 250mm, Oktober (220 hingga 330mm), November (250 hingga 370mm) dan Disember (210 hingga 310mm).


Pengarang :