Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mendengar Sembah Ucapan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim Sempena Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor tekad urus keperluan rakyat selari polisi pentadbiran Rasulullah SAW

SHAH ALAM, 9 OKT: Selangor sentiasa tekad mengurus keperluan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama selari polisi pentadbiran Rasulullah SAW di Madinah yang mengutamakan kebajikan seluruh umat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata dasar diwujudkan pentadbiran ini memastikan setiap manfaat dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.

“Bencana alam seperti banjir dan Covid-19 yang melanda negara memberi dampak negatif kepada kehidupan rakyat terutama daripada sudut ekonomi.

“Namun perkara positif yang muncul dalam kekalutan ini ialah sikap kerjasama antara rakyat dan jabatan kerajaan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mendengar persembahan berzanji dan qasidah dari kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sempena majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis sambutan berkenaan.

Dalam pada itu, Haris berkata hubungan yang terjalin antara umat Islam dan bukan Islam di negeri ini menyumbang kepada pembangunan Selangor.

“Sikap toleransi dan kerjasama antara kaum tunjang kepada kestabilan dan keharmonian penduduk di Selangor.

“Setiap penganut bebas untuk melaksanakan ajaran dan kepercayaan masing-masing selagi tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat persembahan berzanji dan qasidah sempena Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :