Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyampaian sumbangan insentif haji di Masjid Al Azim Pandan Indah, Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor utama kebajikan rakyat seiring ajaran Nabi Muhammad

SHAH ALAM, 9 OKT: Usaha negeri menyantuni dan menjaga kebajikan rakyat selari ajaran Nabi Muhammad terkandung dalam al-Quran dan sunnahnya yang menjadi pedoman malar segar hingga hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata kelahiran baginda juga rahmat yang menyinari alam dan sambutan Maulidur Rasul membawa maksud umat Islam sentiasa menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah dan ajarannya.

“Semoga tekad Kerajaan Negeri untuk berbuat ihsan buat semua warga Selangor tanpa meninggalkan sesiapapun akan sentiasa dirahmatiNya, seiring panduan junjungan mulia kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan sempena sambutan Maulidur Rasul 1444H hari ini.

Beliau berkata sambutan itu perlu dimanfaatkan dengan mentadabbur al-Quran, berselawat dan meneliti kembali perjalanan hidup Rasulullah yang menyimpan pendoman untuk umat Islam.

Katanya, firman Allah SWT dalam ayat 77 Surah Al-Qasas jelas menggambarkan penciptaan manusia dan bumi dengan kehidupan, kematian serta segala yang ada padanya adalah ujian untuk berbuat kebaikan.

“Bahkan tujuannya juga supaya manusia berlumba-lumba dalam melakukan ihsan, kebaikan dan memberi manfaat. Kesannya kita akan saling berlaku ihsan, lalu akan terciptalah masyarakat yang ihsan dan juga negeri yang ihsan (darul ehsan),” kata Amirudin.


Pengarang :